Saturday, September 6, 2014

Bayar 3 bulan gaji untuk segera berpindah mengikut suami


Singgah di blog puan arkitek,
Perkahwinan ditahun akhir universiti dengan graduan perubatan, memberikan saya cabaran status baru, isteri doktor. Sedikit-sebanyak menenggelamkan posisi karier ARKITEK yang dicita-citakan sekian lama. Syukur, kami disahkan dengan berita gembira pada hari konvokesyen saya, anugerah cahaya mata dalam kandungan seawal satu bulan ketika itu. Lantas dengan itu, saya terus memadamkan rasa teruja untuk mengejar dunia berkerjaya dilapangan hutan konkrit dan batu-bata. Memberi gelaran Arkitek Keluarga, dengan moto merekabentuk kehidupan dan generasi. Setuju?
Mengikut suami bertugas ke Malaysia Timur, Sabah mengasingkan saya dengan kehidupan baru yang unik dan berbeza dari laman sendiri tanah semenanjung. Lantas saya yang sudah sarat mengandung hanya terus berehat di rumah dan menunggu hari melahirkan anak pertama. Tekad saya mahu menjadi SAHM (Stay-At-Home-Mother) dan menjadi dambaan kawan-kawan lain, yang cemburu melihat saya ibaratnya hidup hanya goyang kaki.
Ketika bayi sulong baru berumur 6bulan, saya ditawarkan mengajar sebagai pensyarah kepada pelajar-pelajar diploma senibina, di sebuah kolej swasta berdekatan tempat kerja suami. Pada masa yang sama, saya teruja menjumpai blog Arkitek bekerja hanya dirumah, Khairunisa Hamzah. Kebetulan beliau juga belajar satu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sama dengan penasihat kajian sarjana saya di Universiti Mlaysia Sabah (UMS), Prof. Dr Abdullah Bade. Saya sangat-sangat keliru dengan keputusan saya samada kembali berkerja atau WAHM(working-at-home-mother) seperti beliau. Ia cukup menganggu tidur lena saya.
Perasaan itulah yang membuatkan saya menghubungi beliau selepas berkali-kali membaca entry ini:http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/2013/06/letak-jawatan.html
Beliau menyarankan agar saya buat sesuatu mengikut kemampuan diri dan menjemput saya mendaftar untuk bersama dalam Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) setelah saya mampu membuat keputusan berhenti kerja nanti. Jika saya mampu.
Kerjaya pensyarah menjadikan diri ini terasa bagaikan lilin yang membakar, apabila semangat erti hidup untuk memberi berkobar-kobar, apalagi yang diberikan itu adalah perkongsian pengalaman dan ilmu secara proaktif di lapangan senibina. Tutup sebelah mata, maka saya teruskan dilema yang dihadapi dan terus mengajar dan mendidik anak bangsa. Walaupun hakikatnya saya sedar gaji pensyarah kolej nyata tidak langsung mencapai tahap 'standard' graduan kelulusan Arkitek dan sedar cabaran yang mesti saya tempuh sebagai seorang ibu dengan misi penyusuan susu ibu penuh selama dua tahun. Suami menyahut penuh seruan memperkasakan 'breastfeeding' oleh majikannya, kementerian kesihatan Malaysia!
Akhir tahun lepas, suami dipindahkan untuk bertugas di pergunungan kinabalu. Kami terpaksa tinggal berasingan dan berpisah. Jarak pergi-balik dari puncak gunung dan kota kinabalu hanyalah 3jam tetapi dengan laluan jalanraya yang dipenuhi lereng-lereng gunung, ia bukan opsyen yang praktikal. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Kolej memberikan opsyen “Voluntary Surrender Scheme” (VSS) kepada semua pekerja pada bulan yang sama. Walaupun saya memilih untuk memohon VSS, tetapi Allah Maha mengetahui. Permohonan saya ditolak kerana hanya saya satu-satunya pensyarah kelulusan senibina di institusi tersebut.
Kali ini, saya diuji terpaksa membayar 3 bulan gaji sekiranya ingin segera berpindah mengikut suami. Buat kali pertama hati saya berkecamuk dan menyesal kerana BEKERJA, kerana saya selama ini sudah utuh dan yakin bahawa lubuk ketenangan dan kelapangan yang hakiki adalah satu rumah duduk tinggal bersama sekeluarga. Rumah ku, syurga ku!
Dengan izin Allah, saya menghantar notis berhenti kerja 4 bulan setelah mengetahui tawaran VSS saya ditolak. Saya berhenti elok sehingga habis semua kuliah saya sepanjang semester akademik di kolej. Sementara itu, suami jauh di pergunungan, kami hanya berjumpa di hujung minggu atau pada kelapangan yang ada. Senyum saya mengigati bagaimana kami terpaksa melalui pengalaman menyewa bilik bersama pelajar-pelajar di asrama kolej demi keselamatan bayi dan kekangan ekonomi untuk menyewa dua rumah sekaligus pada ketika itu. Sewa rumah di kota kinabalu dua kali ganda lebih mahal dari kadar sewa di kuala lumpur.
Semuanya sudah beberapa bulan berlalu, setelah mendapat berita kandungan anak kedua, semangat untuk terus berhenti bekerja kembali hidup dan harapannya agar kandungan ini juga (sekarang 5bulan) yang meneguhkan keputusan saya untuk merdekakan diri dari terus berkerja untuk orang lain. Cukuplah diri saya sendiri sebagai majikan dan saya jua sebagai pekerja. Merdeka!
Getus hati kecil ini, macamana saya akan mula menulis blog, sedangkan saya hanya pandai melakar atau melukis. Paling pandai berkhayal mencari idea. Menerawang dan entah ke mana-mana. Berpenglipulara. Itulah kerisauan suami, risau saya memikirkan cinta lain agaknya. Bila diingat-ingat kali terakhir saya menulis blog, saya sudah lupa bila. Terasa lebih muda, riang dan ceria, saya mula kembali ber'blog' hari ini.
Saya akan mencari makna disebalik perkenalan kita hari ini, makna sebuah kemerdekaan, disini bermulanya sebuah cinta.
Berkenalan dengan Afdhalila Nur
Singgah di blog:http://afdalilaabas.blogspot.com/
Kelas Asas Blog Dan Penulisan.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin