Friday, September 12, 2008

Kak Yan pulang bercuti

Raya kali ini, kali pertama pembantu rumah saya pulang ke kampungnya, nun di Selatan Thai, Narathiwat. Saya juga sudah lama tidak ke sana, terakhir melawat sanak saudara di Thai ketika umur 12 tahun.

Saya bukan orang Thailand, ya! Cuma semasa zaman Jepun dahulu ramai yang sanak saudara sebelah ayah berhijrah ke sana. Apabila ada kenduri mereka akan ke sini atau kami akan ke sana.

Seronoknya, banyak masakan dan murah-murah pula. Teringat ketika saya di sana, bihun supnya hanya 20 sen, macam-macam lauk ada. Aneka kuih pula tidak terkiralah. Amat kreatif. Paling saya suka pulut santan dan buah mangga kuning. Sungguh sedap. Roti canai yang digulung padat dan didalamnya ada susu. Lemak dan sedap juga. Apabila digigit terasa keenakan dan kelembutan padu.

Tidak tahu hendak menjengah ke rumah mana dahulu, begitulah ramahnya jiran tetangga di sana. Sarapan di rumah ini, makan tengahari di rumah sana dan makan malam di ruma sinun pula. Saya sangat suka suasana sebegitu.

Nampakya, Aiman, Arif dan Hakim perlu tinggal di rumah jiran sebelah sementara Kakak pulang ke kampung. Semoga urusan dipermudahkan, mungkin saya agak letih sedikit dari biasa, kerana perlu menguruskan semua sekali.

Monday, September 1, 2008

Selamat Menyambut Ramadhan

Alhamdulillah, ramadhan muncul lagi. Teringat semasa usia masih kecil, takkala selesai berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, saya selalunya mengikut ibu, untuk turut serta menunaikan tarawih di masjid. Suasana di kampung apabila menjelang ramadhan cukup meriah. Bagaikan seluruh kampung meraikan, beramai-ramai berjalan kaki ke masjid, ada juga yang menunggang motosikal. Lelaki, wanita, tua dan muda sama-sama berusaha mengambil keberkatan.

Saya masih rindu dan terbayang suasana tersebut tatkala ramadhan menjelma.
Apatah lagi masakan emak yang begitu enak saat menjamu beramai-ramai berbuka puasa. Kemeriahan paling dirasakan sewaktu mengadakan kenduri berbuka puasa beramai-ramai. Sanak-saudara dan jiran tetangga dijemput bersama. Bertukar-tukar juadah adalah rutin, hinggakan tidak tahu menjamah yang mana satu. Kuih-kuih tradisional khususnya beraneka rupa, buah melaka, sira pisang, pengat, ikan percik, semuanya dimasak sendiri, tanpa perlu bersusah-susah membeli. Air tangan ibu sampai bila-bila pasti dirindu.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin